BUDAPEST – Pengurus pasukan Liverpool, Jurgen Klopp gembira dengan kemenangan ke atas RB Leipzig sekali gus menyindir sesetengah pihak yang mahu melihat mereka tumbang sekali lagi pada perlawanan tersebut.
Kemenangan skuad The Reds memberi kelegaan kepada Klopp berikut kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu ke atas Brighton, Manchester City dan Leicester.
Liverpool membuktikan mereka masih berbisa selepas membawa bekalan selesa dalam perlawanan pertama pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah awal pagi semalam selepas meraih kemenangan 2-0 ketika berdepan Leipzig.
“Ini perlawanan yang kita mahukan. Saya akui bukan tugas mudah ketika berdepan Leipzig, kerana mereka telah mengatasi banyak pasukan. Mereka bermain dengan agak agresif separuh babak pertama perlawanan.
“Saya akui ia merupakan perlawanan yang agak sukar dan saya gembira pemain dapat mengekang asakan mereka.
“Saya sedar ramai yang menjangkakan kami akan tewas lagi berikutan tiga kekalahan lalu. Bagaimanapun pemain tidak putus asa dan mereka bermain serta bertahan dengan baik,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Pada perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan bertahan dengan baik pada separuh masa babak pertama perlawanan. Bagaimanapun, Mohamed Salah berjaya memecahkan kebuntuan selepas meledak gol pada minit ke-53.
Lima minit selepas itu giliran Sadio Mane menjaringkan gol kedua buat Liverpool. Jaringan tersebut memberi kelebihan buat Liverpool menjelang aksi timbal balik di Anfield 10 Mac nanti. – AGENSI