MELAKA – Siasatan lanjut polis berhubung kes seorang lelaki yang melempar bom petrol ke dalam rumah didiami bekas kekasihnya di Taman Melaka Baru, Batu Berendam kelmarin mendapati suspek bertindak demikian kerana berang apabila mendapati kekasih baharu wanita itu merupakan kenalannya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, suspek dan pengadu yang masing-masing berusia 50 tahun mengenali satu sama lain selepas tinggal di kawasan kejiranan sama kira-kira 40 tahun lamanya.
Katanya, tindakan suspek membaling bom petrol itu juga disebabkan rasa tidak puas hati apabila wanita berusia 46 tahun berkenaan menolak cintanya dan memilih untuk bersama lelaki yang dikenalinya itu.
“Hasil soal siasat, suspek memberitahu dia berang dengan bekas teman wanitanya itu kerana menolak cintanya dan keadaan bertambah buruk apabila bekas kekasihnya itu menjalinkan hubungan cinta yang baharu bersama lelaki yang dikenalinya kira-kira 40 tahun lamanya.
“Dia mendakwa pengadu juga tahu tentang perasaannya kepada wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini.
Semalam Kosmo! melaporkan seorang lelaki diberkas kerana melempar bom petrol ke pekarangan rumah didiami bekas kekasihnya hingga mengakibatkan rak kasut dan bumbung kereta Honda Jazz terbakar.
Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, wanita itu bagaimanapun mendakwa dia memutuskan hubungan cinta dengan suspek kerana lelaki tersebut tidak memberi jaminan masa hadapan.
Jelasnya, suspek merupakan seorang pemandu lori, manakala teman lelaki baharu wanita itu merupakan seorang kontraktor mengecat dan kini menanggung kehidupan wanita tersebut yang hilang sumber pendapatan sebagai ejen pelancongan gara-gara pandemik Covid-19.
Tambahnya, wanita itu juga mempunyai dua anak.
“Suspek kini direman dan barang-barang rampasan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya.