SHAH ALAM – Seorang jurulatih perunding insurans mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 25 pertuduhan kes pengubahan wang haram bernilai RM1.8 juta, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Zuriati Mohamed Yusoff, 47, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.
Mengikut pertuduhan pertama, dia yang juga bekas pengarah sebuah syarikat agensi insurans didakwa menerima wang berjumlah RM1,849,719.75 yang merupakan hasil aktiviti haram ke dalam akaun semasa bank milik syarikat Millionaire Synergy Sdn. Bhd.
Bagi empat pertuduhan lain, Zuriati dituduh menggunakan wang antara RM20,000 hingga RM90,000 melalui cek bank sebagai pembayaran kepada dirinya dan seorang individu lain.
Selain itu, untuk 20 pertuduhan seterusnya adalah ibu kepada dua anak itu memindahkan wang antara RM10,000 hingga RM435,080 daripada akaun semasa syarikat itu ke dalam akaun miliknya dan 17 individu berbeza.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Kota Damansara, Petaling Jaya, antara 21 Mei hingga 6 Julai 2018.
Pendakwaan terhadap Zuriati dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli menawarkan ikat jamin berjumlah RM100,00 selepas mengambil kira nilai keseluruhan transaksi yang tinggi.
Peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Zuriati bagaimanapun memohon pengurangan berikutan anak guamnya itu sudah diisytiharkan muflis sejak dua tahun lalu.
“Dia kini melatih perunding insurans dengan hanya memperoleh pendapatan bersih berjumlah RM1,300 sebulan dan perlu membayar RM500 kepada Jabatan Insolvensi.
“Di samping itu, dia mempunyai tanggungan dua anak dan seorang bapa yang berusia 86 tahun,” katanya.
Yang Zaimey kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dan tiada syarat tambahan dikenakan.
Sebutan semula kes ditetapkan di Mahkamah Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama satu kes lain pada 14 Mac depan.
Tertuduh membayar kos jaminan itu. -K!ONLINE