KLANG – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berjaya mematahkan cubaan membawa masuk lapan kontena barangan buangan elektrik dan elektronik terpakai di Pelabuhan Barat di sini hari ini.
Dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari tadi menemui sejumlah papan litar bercetak dan pencetak terpakai seberat hampir 147,147 kilogram (kg) dan dipercayai dibawa masuk bagi tujuan kitar semula.
Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, pemeriksaan itu hasil kerjasama Jabatan Kastam dengan siasatan awal mendapati barangan buangan itu diimport dari Amerika Syarikat dan Hong Kong tanpa memiliki kelulusan daripada JAS.
Katanya, kesemua barangan buangan itu dipercayai akan dibawa ke beberapa buah premis di Lembah Klang untuk diproses.
“Kesemua barangan itu akan dilebur untuk mendapatkan logam-logam berharga seperti timah dan tembaga dipercayai bagi pasaran negara ini.
“Kita telah mengeluarkan notis arahan kepada syarikat pengimport untuk memulangkan kontena itu ke negara asal di bawah prosedur Konvesyen Basel berkaitan Kawalan Pergerakan Bahan Berbahaya Dan Pelupusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Jelas beliau, JAS Selangor akan terus komited membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan dan mengelakkan negeri ini dijadikan tempat pelupusan buangan daripada negara asing.
Kosmo! sebelum ini melaporkan JAS berjaya membanteras pengimportan sisa plastik secara haram ke dalam negara ini selepas menghantar semula 254 kontena ke negara pengeskport dengan anggaran berat 5,512 metrik tan sisa plastik bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan segala penghantaran yang dilakukan tanpa melibatkan sebarang kos oleh kerajaan. -K!ONLINE.