PETALING JAYA – Tiada niat untuk merahsiakan perkahwinannya dengan suami, Imam Shah, pelakon jelita, Hannah Delisha sememangnya seorang yang amat berahsia terutama berkaitan hal peribadi.
Perkara itu didedahkan pengurusnya, Dura Aiman kepada Kosmo! Online sebentar tadi yang turut memaklumkan pelakon kelahiran Singapura itu akan berkongsi kenyataan media mempercincikan perkahwinan mengejutnya dengan lelaki juga merupakan seorang pelakon dari negara republik tersebut.
“Hannah is a very very private person. (Hannah merupakan seorang yang sangat-sangat menjaga privasi). Hannah akan keluarkan kenyataan media secepat mungkin.
“Macam saya cakap tak semua perkara saya boleh bercakap mewakili pihaknya. Bagi masa sedikit,” katanya Dura yang juga merupakan pengurus artis syarikat pengurusan, Prodigy Syndrome Management Malaysia kepada Kosmo! ketika dihubungi sebentar tadi.
“Hannah dan Imam sudah rancang berkahwin sejak 5 tahun lepas,” dedah Dura secara ringkas lagi.
Dalam pada itu, Dura berkata, gambar yang viral itu bukanlah adegan drama sebaliknya memang majlis akad nikah Hannah bersama Imam Shah.
“Majlis berkenaan ringkas dan kecil serta hanya dihadiri oleh keluarga terdekat saja. Cuma, saya tidak boleh berkongsi lebih lanjut kerana pihak pengurusan tidak terbabit dalam perkara ini.
“Kami dimaklumkan mengenai majlis nikah pada hari ini, cuma menurut Hannah, dia sendiri akan berkongsi butiran lanjut,” katanya.
Tambah Dura, pihak pengurusan sendiri tidak dapat ke Singapura kerana kekangan dari segi undang-undang bagi menyekat penyebaran Covid 19.
Terdahulu, Hannah atau nama lengkapnya, Hannah Adlina Blackburne Birch, 25, membuat kejutan dengan berkongsi foto dia selamat bernikah dengan seorang jejaka yang dikenali sebagai Imam Shah.
Perkara tersebut dikongsi sendiri oleh Hannah, 25, dalam satu hantaran Instagramnya sebentar tadi.
“Akhirnya selepas lima tahun. Alhamdulillah, saya cintakan awak @imamemy disertai dengan tanda pagar #imampadahannah,” tulis Hannah.
Sementara itu, dalam Instagram Imam, pengantin lelaki itu turut memuat naik hantaran dia sedang menyarungkan cincin pada jari manis pelakon yang popular menerusi drama Cinta Sekali Lagi itu. – K! ONLINE