BAGI penggemar kopi, anda boleh mencuba pelbagai jenis minuman tersebut di Kopi Kafe yang terletak berhadapan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Kafe yang dibuka sejak 11 November tahun lalu itu diusahakan Mohd. Saiful Suib, 33, bersama dua orang doktor iaitu Dr. Nik Hidayatul Izni Mohd. Hatta, 33, dan Dr. Huda Tarmizi, 31.
Menurut Mohd. Saiful, Kopi Kafe menawarkan lebih 30 minuman kopi unik antaranya latte lavender, latte salted caramel, cortado, americano dan frappucino.
“Kita menawarkan banyak pilihan minuman kopi panas dan sejuk buat penggemar kopi yang inginkan kelainan setiap kali menikmati minuman tersebut,” katanya ketika ditemui di kafe tersebut baru-baru ini.
Katanya, kebanyakan menu kopi merupakan olahan baharu yang dihasilkannya bersama barista.
“Kita juga menggunakan kopi berkualiti bagi membolehkan pelanggan merasai keenakan sebenar,” jelasnya.
Katanya, selain itu pengunjung juga boleh menghirup kopi sambil menikmati sajian Italian Western.
“Sajian itu adalah untuk pelanggan yang inginkan santapan ringan, namun mengenyangkan,” ujarnya.
Ujarnya, minuman yang paling digemari pengunjung ialah latte lavender, manakala minuman bukan kopi pula ialah frozen olaf dan red diamond fizz.
“Bagi hidangan makanan, prawn pesto spaghetti dan Turkish olive lamb menjadi pilihan pengunjung,” jelasnya.
Menurutnya, terbaharu, Kopi Kafe melancarkan air botol buatan sendiri iaitu white coffee coldbrew serta menerima tempahan cenderamata atau hidangan untuk sebarang majlis keraian.
Katanya, harga hidangan makanan dan minuman di Kopi Kafe bermula daripada RM3.80 hingga RM15.50.
“Kafe juga menerima tempahan makanan untuk tunai semasa hantar (COD) bagi yang ingin merasai kopi di Kopi Kafe,” katanya.
Kata Mohd. Saiful, kebiasaannya kafe menerima ramai pengunjung pada waktu petang hingga malam dan kebanyakan mereka terdiri daripada orang muda selain petugas barisan hadapan di HSB.
“Kita juga menerima tempahan tempat untuk majlis keraian seperti sambutan hari jadi dengan harga serendah RM30,” ujarnya.
Tambah Mohd. Saiful, semua hidangan adalah olahan dan ideanya sendiri serta dua rakan perniagaannya itu.
“Kami mempunyai minat sama untuk membuka sebuah kafe dan memulakan perniagaan kafe.
“Sejak tiga tahun lalu, saya mula belajar mengenai pengurusan kafe dan mengolah pelbagai jenis sajian makanan sebelum membuka Kopi Kafe yang berkonsepkan santai dengan kopi terpilih sebagai sajian utama,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan Kopi Kafe, Nurul Athirah Yusof, 24, berkata, dia menjadikan kafe itu sebagai pilihannya jika inginkan kopi atau makanan ringan.
“Selain tempatnya yang selesa serta layanan baik, makanan juga sedap dengan minuman kopi yang agak unik lain daripada tempat lain,” katanya.
Katanya lagi, harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan serta saiz hidangan yang mengenyangkan.