PASIR GUDANG – Dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) swasta dijangka beroperasi pada awal bulan depan yang menempatkan pekerja warga asing.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, kedua-dua pusat penempatan ini dalam proses mendapatkan kelulusan daripada kerajaan pusat sebelum kemukakan operasi.
Katanya, PKRC itu melibatkan sebuah hotel di Iskandar Puteri dan sebuah asrama pekerja di kawasan Kota Tinggi.
“Ini adalah PKRC swasta yang pertama seumpamanya di Johor. Hotel tersebut boleh menempatkan kira-kira 250 pesakit Covid-19 manakala asrama pekerja berkenaan boleh menempatkan lebih ramai daripada itu.
“PKRC swasta ini adalah untuk menempatkan pesakit bukan warga negara asing, di mana kos akan ditanggung oleh majikan ataupun pesakit sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Aman Rabu dan Komander Operasi Johor, Mohd. Fathi Zaki Mohd. Zakaria.
Terdahulu, Hasni sempat meninjau keadaan PKRC di Stadium MBPG yang menempatkan seramai 277 pesakit yang masih dikuarantin di stadium berkenaan.
Hasni berkata, pendatang asing tanpa izin (PATI) yang positif juga boleh ditempatkan di PKRC swasta yang bersesuaian sekiranya kem tahanan sudah tiada tempat bagi menempatkan mereka yang positif.
“Selain PKRC swasta, pihak industri juga telah menambah baik tempat penempatan pekerja asing dengan menyediakan lebih banyak ruang dan tidaklah terlalu padat seperti dahulu.
“Ini adalah hasil pemantauan yang dibuat sebelum ini dan mereka memberi kerjasama Dalam membendung penularan wabak Covid-19 dengan menyediakan penempatan yang kondusif bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.-K! ONLINE.