PUTRAJAYA – Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan seorang pengarah syarikat direman kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor-kontraktor yang melaksanakan projek pengubahsuaian rangkaian restoran terkenal di negara ini.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 37 dan 60 tahun direman selama lima hari bermula hari ini hingga 23 Februari depan.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, kedua-dua suspek itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur lewat petang semalam.
Katanya, CEO rakyat Hong Kong dan mempunyai taraf pemastautin tetap Singapura itu dipercayai telah mengarahkan agar setiap kontraktor memberikan komisen sebanyak 15 peratus daripada harga kontrak dalam proses lantikan kontraktor.
“Komisen itu bagi projek mengubahsuai enam buah restoran di beberapa negeri.
“Semua pembayaran rasuah kemudian dimasukkan ke dalam akaun syarikat lain milik seorang pengarah syarikat yang turut ditahan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan tersebut.
Kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009. – K!ONLINE