fbpx

Bekalan elektrik empat premis judi haram dipotong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Omar melihat kakitangan TNB memotong bekalan elektrik premis dikenal pasti terlibat judi haram di Taman Sitiawan Maju, Sitiawan hari ini.

LUMUT – Polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini memotong bekalan elektrik empat premis yang menjadi ejen penjualan loteri awam secara haram di daerah Manjung.

Tiga daripada premis itu terletak di Sitiawan manakala satu premis di Ayer Tawar dekat sini dan mereka berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit, kedai menjual telefon bimbit serta kedai makan bagi menjalankan aktiviti itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, semua premis itu pernah diserbu antara lima hingga tujuh kali sebelum ini tetapi masih tidak serik menjalankan aktiviti itu.

“Oleh itu, hari ini polis mengambil keputusan memotong bekalan elektrik ke premis itu agar kegiatan itu dapat dihentikan terus.

“Tindakan ini dilakukan di bawah Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi pemotongan bekalan elektrik itu di salah satu daripada premis itu di Taman Sitiawan Maju, Sitiawan dekat sini hari ini.

Nor Omar berkata, selain menjadi ejen penjualan loteri awam haram, premis tersebut juga dikesan melakukan aktiviti perjudian secara dalam talian.

Katanya, siasatan awal mendapati premis itu menjadi ejen dengan cara beroperasi tiga kali seminggu dan mendapat komisyen sebanyak 17 peratus bagi membolehkan mereka memperolehi pendapatan sampingan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

“Selepas ini, jika premis terlibat memohon penyambungan bekalan elektrik, pihak TNB akan merujuk kepada pihak polis terlebih dahulu,” katanya.

Katanya, polis turut mencadangkan kepada Majlis Perbandaran Manjung (MPM) agar membatalkan lesen perniagaan premis tersebut.

Nor Omar juga berkata, dalam tempoh 1 Januari sehingga semalam, polis telah melakukan 38 serbuan dan 70 tangkapan untuk kesalahan berkaitan judi dengan lima daripadanya sudah didakwa di mahkamah.

Menurut beliau, menerusi Op Dadu sepanjang tahun lalu pula, IPD Manjung telah melakukan 271 serbuan dan melakukan 341 tangkapan dengan 176 kes didakwa di mahkamah manakala sebanyak 12 premis dipotong bekalan elektriknya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI