“Mujur saya cepat minta kontraktor memeriksa sistem pendawaian di rumah, sebab menurut mereka, hanya tunggu masa sahaja untuk terbakar dan meletup,” jelas rakan penulis bercerita mengenai pengalamannya minggu lalu ketika bekerja dari rumah.
Kata dia, mujur ada lebihan bajet daripada pengeluaran i-Sinar yang diterimanya daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini kerana kos untuk membuat pendawaian semula di rumahnya menelan hampir RM3,000.
Baginya duit peruntukan itu lebih penting kerana ia melibatkan nyawa ahli keluarga dan harta benda bernilai di dalam rumah yang berusia lebih 10 tahun itu sekiranya berlaku kebakaran yang bakal menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit.
Seorang lagi rakan penulis juga mampu menarik nafas lega kerana dapat membayar pinjaman kenderaannya yang tertunggak lebih daripada empat bulan sehingga terpaksa ditarik oleh pihak bank.
Ketiadaan kereta membuatkan aktiviti hariannya kelam kabut kerana itulah satu-satunya aset yang ada untuk membolehkan dia bergerak dalam menguruskan perniagaannya.
Lain pula cerita seorang rakan penulis apabila dia menggunakan duit i-Sinar hampir RM6,000 untuk membayar wang cukai pintu yang tertunggak sejak mula menduduki rumahnya lebih lima tahun lalu.
Mujur katanya, pihak berkuasa tempatan tidak mengambil tindakan undang-undang khususnya menyita rumah kerana kelewatan tersebut.
Selain itu, ada juga menjadikannya sebagai hadiah kenangan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan apabila si suami menghadiahkan sebentuk cincin kepada isteri, manakala kakak atau abang membeli barangan elektrik kepada adik-beradiknya.
Lebih menarik, ada juga anak-anak yang menghadiahkan wang i-Sinar kepada ibu bapa mereka sebagai perbelanjaan tambahan untuk mengerjakan umrah apabila pintu sempadan dibuka semula pada masa depan.
“Ambil berkat daripada wang simpanan KWSP,” kata mereka.
Ada banyak lagi kisah suka duka masyarakat telah berjaya diselesaikan melalui wang simpanan daripada Akaun 1, KWSP yang mula dimanfaatkan oleh ahlinya sejak Januari lalu.
Pengumuman kerajaan baru-baru ini yang membenarkan semua ahlinya yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada Akaun 1 tertakluk kepada baki sedia ada juga telah memberi kelegaan kepada lebih ramai pencarum mengharungi cabaran semasa dalam ekonomi sukar kini.
Kelonggaran syarat tersebut yang bakal dimanfaatkan oleh kira-kira 14.6 juta itu bukan sahaja dapat membantu kekangan kewangan yang dihadapi kini tetapi juga dapat membantu menggerakkan ekonomi negara.
Disiplinkan diri, betulkan semula niat anda dan manfaatkannya untuk mencari keberkatan bagi meneruskan kelangsungan hidup yang semakin mencabar kini kerana betul kata pepatah moden, rakyat Malaysia mudah lupa!