fbpx

Aksi pramusim tiga penjuru uji pemain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Haris (dua dari kiri) menyampaikan replika sumbangan kepada Shahsuzan (dua dari kanan) selepas sidang akhbar sempena aksi pramusim tiga penjuru di Shah Alam semalam.

PASUKAN Universiti Teknologi Mara (UiTM) tekad menjadikan aksi pramusim bagi merebut Piala Bandaraya Shah Alam sebagai medan terbaik menguji para pemainnya sebelum Liga Malaysia (Liga M) bermula 5 Mac depan.

Ketua Pegawai Eksekutif UiTM FC Sdn. Bhd., Mustaza Ahmad berkata, perlawanan itu akan melibatkan tiga penjuru antara pasukannya, Perak FC dan Terengganu FC 2 bermula Jumaat ini dengan pasukan me­ngutip mata tertinggi akan menjulang Piala Bandaraya Shah Alam.

Beliau secara peribadi me­ngakui tempoh tiga minggu sebelum bermula Liga M dianggap kritikal dan tidak cukup.

“Kita kena mengambil kesempatan untuk mulakan liga itu. Saya dimaklumkan kalau lambat mula (Liga M) musim ini akan menyebabkan kesukaran susulan terdapat tiga atau empat kali Liga M akan diberhentikan bagi memberikan laluan kepada (perlawanan) pasukan kebangsaan untuk kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Saya memahami masalah itu dan berharap pemain juga bersedia. Lagipun semua pasukan juga mempunyai masa sama dan akan memulakan pertandingan (Liga M) pada 5 Mac ini,” katanya pada sidang akhbar sempena latihan pramusim tiga penjuru anjuran UiTM FC dan Majlis Bandaraya Shah Alam semalam.

Pada majlis tersebut, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim menyampaikan sumbangan berjumlah RM300,000 kepada UiTM yang diwakili Pengarah Pembangunan Pelajar UiTM, Dr. Shahsuzan Zakaria untuk program tersebut.

Dalam pada itu, Mustaza memberitahu, kehilangan pemain import dari Lebanon, Rabih Ataya akan dirasai musim ini memandangkan pemain itu merupakan antara perancang utama UiTM FC.

Mengenai perlawanan pramusim itu, beliau berkata, pihaknya menyediakan dua sesi latihan setiap hari kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dengan perlawanan akan diadakan di Stadium UiTM.

“Segala aspek pematuhan yang digariskan prosedur standard operasi (SOP) akan dipatuhi termasuk mengkehendaki saringan ujian RTK-Antigen ke atas setiap pasukan.

“Konsep gelembung sukan diberikan penekanan utama dengan semua pemain dan pegawai terlibat dengan program ini hanya dibenarkan bergerak dari hotel ke lokasi latihan dan perlawanan persahabatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI