fbpx

29 peniaga lakukan pelbagai kesalahan dikompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan di sebuah premis sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Manjung, Perak.

IPOH – Sebanyak 29 peniaga dikompaun kerana melakukan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2021 (SHMMPTBC) di Perak yang berakhir kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, kesalahan itu dikesan dilakukan dilakukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Daripada 29 kes yang direkodkan di Perak, 21 daripadanya adalah kesalahan tiada tanda harga, tujuh lagi kesalahan tiada tanda harga khas berwarna merah jambu dan satu kes bagi kesalahan menjual melebihi harga kawalan.

“Sebanyak 16 jenis barangan terlibat bagi pelaksanaan skim berkenaan di Perak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Yunus berkata, di samping itu, pegawai dan anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut diberi kuasa mengikut Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi melakukan pemantauan dan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh peniaga dan premis perniagaan.

Katanya, sepanjang tempoh skim berlangsung bermula 8 hingga 16 Februari itu, sebanyak 1,621 premis telah diperiksa.

“KPDNHEP turut merampas barangan bernilai RM1,186 dan mengeluarkan kompaun keseluruhan bernilai RM3,250.

“Secara keseluruhan, pelaksanaan skim ini dan tindakan penguatkuasaan KPDNHEP sepanjang tempoh 1 Februari 2021 hingga 16 Februari 2021 di negeri Perak adalah memuaskan di mana tahap pematuhan peniaga adalah baik.

“Mereka memahami tanggungjawab mereka dengan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI