KAMPAR – Tiga lelaki ditangkap kerana mencuri bekalan elektrik bagi aktiviti melombong mata wang digital bitcoin di empat buah premis di Bandar Agacia di sini semalam.
Ketiga-tiga lelaki berusia antara 19 hingga 32 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Perak dalam serbuan pada pukul 2 petang.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, serbuan itu dilakukan setelah menerima maklumat terdapat kes kecurian arus elektrik bagi menjalankan aktiviti mesin bitcoin di premis tersebut.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menemui 250 unit mesin bitcoin dan peralatan lain yang digunakan dalam aktiviti berkaitan.
“Siasatan mendapati ketiga-tiga suspek itu terlibat dalam kegiatan mencuri arus elektrik dan penyambungan kabel secara haram di kesemua premis tersebut.
“Ketiga-tiga mereka ditangkap dan barang kes dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.-K! ONLINE