IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini menzahirkan penghargaan atas usaha dan sifat terpuji yang ditunjukkan seorang guru, Ismail Mohd. Zain atas kerja rutin membersihkan Sungai Balun daripada sampah sarap.
Dalam Warkah Penghargaan yang sampaikan kepada guru berkenaan, Sultan Nazrin turut memuji usaha Ismail yang melaksanakan tugas itu secara sukarela.
“Usaha membersihkan Sungai Balun daripada sampah sarap yang terperangkap bukan sahaja membantu pengaliran air sungai yang dapat menghindarkan banjir, malah turut membantu memelihara habitat pelbagai spesies hidupan air untuk membiak, seterusnya memberi rezeki kepada nelayan darat.
“Beta menzahirkan penghargaan atas sifat yang amat terpuji yang telah saudara pamerkan.
“Bertugas sebagai seorang guru, saudara Beta telah menunjukkan teladan kepimpinan yang baik kepada profesion keguruan dan sewajarnya dijadikan contoh oleh warga dan pelajar-pelajar di negara ini.
“Semoga Allah Subhanahu Wataala menerima usaha murni yang dilakukan sebagai amal makruf yang dilimpahi dengan ganjaran dunia-ganjaran akhirat,” titah baginda dalam warkah berkenaan hari ini.-K! ONLINE