PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech yang akan tiba Ahad ini antara sinar utama buat negara untuk memenangi perang melawan Covid-19.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, program imunisasi akan dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan rakyat dilindungi daripada koronavirus yang telah menyerang negara sejak Januari 2020.
Katanya, pengambilan vaksin penting kerana ia membentuk imuniti dalam komuniti dan impak positif akan dirasai rakyat apabila semua individu telah dilindungi dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjaya dilaksanakan.
“Pelbagai sektor ekonomi akan dibuka semula seperti pelancongan dan kita boleh saling ziarah-menziarahi serta bersukan mengikut norma baharu.
“Pastinya, satu lembaran baharu bakal terbuka,” katanya pada majlis pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Bangunan Perdana Putra di sini semalam.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Menurut Muhyiddin, kumpulan vaksin pertama itu akan tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur Sepang Ahad ini.
Tambahnya, ia kemudian dibawa ke pusat penyimpanan vaksin di seluruh negara sebelum roll-out pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulakan pada 26 Februari sehingga April depan.
“Saya akan menerima suntikan vaksin pada hari itu bersama kumpulan sulung petugas barisan hadapan,” katanya.
Ujar Muhyiddin, fasa kedua akan bermula sehingga Ogos melibatkan kumpulan berisiko tinggi, manakala fasa ketiga melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei sehingga Februari 2022.
Sementara itu, Perdana Menteri menasihatkan rakyat agar tidak berlengah untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19 apabila tiba masanya.
“Ingatkan saudara-mara dan rakan-rakan untuk turut serta. Pastikan kita hadir pada waktu yang telah ditetapkan untuk dos pertama dan dos kedua.
“Bila diri kita dilindungi, kita juga dapat melindungi yang lain terutama orang yang disayangi,” katanya.
Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu diterbitkan untuk menerangkan dengan lebih lanjut berhubung dasar program imunisasi dan sebagai rujukan para pembuat dasar, pelaksana serta masyarakat.
Buku itu boleh dimuat turun di laman web www.VaksinCovid.gov.my.