TIDAK dapat dinafikan di dunia bahkan di Malaysia sendiri, bola sepak merupakan sukan yang begitu popular.
Bola sepak mempunyai pengikut tersendiri yang menyokong pasukan kegemaran masing-masing.
Saingan Liga Malaysia (Liga M) di negara ini juga selama ini tampak cukup meriah dan sebelum pandemik Covid-19 melanda setiap stadium pasukan utama akan penuh dengan penyokong masing-masing.
Oleh itu, dalam menyebarkan informasi berkaitan saingan bola sepak tempatan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi kerjasama dengan Ingres Technologies Sdn. Bhd. (Ingres) iaitu sebuah syarikat teknologi maklumat terkemuka khusus dalam pembangunan perisian, sistem integrasi dan infrastruktur telekomunikasi bakal memperkenalkan aplikasi bola sepak negara iaitu Shoot!.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan Ingres yang mengikat perjanjian selama lima tahun bermula tahun 2021 dengan MFL dan akan bertindak sebagai pembangun aplikasi itu.
Beliau percaya aplikasi Shoot! bakal menjadi satu nafas baharu kepada Liga Malaysia seiring peredaran teknologi masa kini yang menuntut maklumat dan kandungan-kandungan digital dapat diakses di hujung jari.
“Aplikasi ini bakal menawarkan segala berita, informasi dan kandungan berkaitan bola sepak Malaysia dalam satu aplikasi.
“Aplikasi ini pasti akan menggembirakan penyokong-penyokong bola sepak negara yang bakal menikmati kandungan serta informasi yang bukan hanya mengenai Liga Malaysia, malah melibatkan perkembangan bola sepak tanah air termasuk pasukan kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Jelasnya, MFL dengan kerjasama Ingres mahu memastikan setiap peminat dapat mengikuti perkembangan terkini menerusi teknologi ditawarkan aplikasi ini yang membolehkan semua penyokong mendapat maklumat berkaitan pasukan Liga Malaysia, e-MFL, pasukan kebangsaan lelaki mahupun wanita, pasukan bola sepak pantai, futsal serta pertandingan anjuran FAM.
Menerusi aplikasi Shoot! juga, peminat boleh mengesahkan pasukan kegemaran masing-masing termasuk segala informasi berkenaan pasukan yang diikuti itu selain mendapat statistik
perlawanan secara langsung. Ciri e-commerce juga bakal diperkenalkan pada masa hadapan.
Dengan platform ini juga, hubungan penyokong dan pasukan akan dirasakan lebih dekat. Para peminat turut akan diberikan ganjaran setiap kali mereka menggunakan aplikasi Shoot!.
Ekosistem digital
Harapan MFL dan Ingres adalah untuk lebih mendekati dan memahami penyokong bola sepak tempatan selain dapat memberikan kandungan serta informasi terbaik kepada mereka menerusi aplikasi tersebut.
Majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara MFL dan Ingres berlangsung baru-baru ini dengan MFL diwakili Ab. Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Ingres, Datuk Emil Rinaldi Sjaiful mewakili Ingres sambil disaksikan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd. Amin serta Pengarah Eksekutif Ingres, Faris Lodin.
Dalam perkembangan sama, Ab. Ghani menegaskan aplikasi Shoot! turut dapat membantu kelab-kelab Liga Malaysia menjana pendapatan baharu selain daripada penaja, tiket atau cenderamata.
“Aplikasi ini membantu pasukan-pasukan Liga Malaysia menjana pendapatan apabila menjadi antara salah satu saluran bagi membantu kelab ketika kami mengembangkan lagi potensi aplikasi ini pada masa akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Emil Rinaldi percaya ekosistem digital memainkan peranan yang amat penting dalam memahami sikap penyokong bola sepak tanah air secara terperinci.
Jelasnya, penerapan data dalam organisasi adalah kunci bagi meningkatkan daya saing di zaman digitalisasi yang kian berkembang.
“Ingres dengan kerjasama MFL komited dalam menerajui aplikasi bola sepak negara ini.
Pelbagai informasi dan kandungan yang unik dan eksklusif akan dipaparkan bagi memenuhi kehendak peminat-peminat yang bukan sahaja terhad kepada aksi bola sepak tetapi juga merangkumi elemen-elemen yang lebih menghiburkan serta fan engagement yang luar biasa.
“Saya harap aplikasi ini bukan sahaja menjadi pelengkap kepada pengalaman penyokong yang menonton bola sepak tanah air, malah membantu ekosistem bola sepak secara holistik untuk terus berkembang menerusi teknologi yang lebih canggih,” katanya.
Prapelancaran aplikasi Shoot! bakal diadakan pada hujung bulan ini.
Para penyokong bola sepak tempatan berpeluang menerokai aplikasi Shoot! dengan memuat turunnya pada semua operasi sistem telefon pintar bermula dengan Android pada bulan depan.