Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas sebanyak 2,807 unit pakaian disyaki tiruan bernilai RM14,780 dalam dua pemeriksaan berasingan kira-kira pukul 2 petang semalam.
Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pemeriksaan itu melibatkan sembilan pegawai penguatkuasa yang masing-masing dijalankan di Taman Tasek Mutiara, Nibong Tebal dan Taman Dahlia, di Butterworth di sini.
Kata Mohd. Ridzuan, selain menjumpai pakaian yang disyaki tiruan itu di bawah Akta Cap Dagangan 2019, pihaknya turut merakam percakapan dua lelaki warga tempatan, masing-masing berusia 34 dan 55 tahun yang dipercayai pemilik premis berkenaan untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, tindakan diambil di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mana-mana orang yang mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan, apa-apa barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar.
“Penalti juga boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati menjual barang-barang yang cap dagangannya dipakai dengan salah.
“Bagi pertubuhan, denda yang dikenakan ialah tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang manakala bagi individu pula, denda yang dikenakan ialah tidak lebih daripada RM10,000 bagi setiap unit barang atau dipenjarakan untuk tempoh tidak lebih daripada tiga tahun,” katanya di sini hari ini.
Jelas Mohd. Ridzuan, pihaknya akan sentiasa menjalankan pemeriksaan bagi memastikan barangan di pasaran adalah tulen dan mengingatkan orang ramai mengenai tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.
“Saya juga ingin menasihatkan pengguna supaya menggunakan hak-hak mereka dan berbelanja dan menanamkan budaya membeli barangan tulen di pasaran,” ujar beliau. – K! ONLINE