fbpx

PSM tidak setuju had umur ke Sukan SEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD mengucapkan terima kasih kepada MOM yang membuat keputusan tiada had umur atlet ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam hujung tahun ini.

KEHILANGAN kilauan pingat antara perkara yang dirisaukan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) selepas mendakwa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hanya membenarkan pemain bawah 23 tahun (B-23) beraksi pada Sukan SEA Hanoi yang bermula November depan.

Kebimbangan itu dilontarkan sendiri oleh Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail selepas mengakui tindakan MOM adalah terburu-buru dan bakal mero­sakkan perancangan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK).

Lebih mengecewakan tambahnya, MOM akan mengumumkan had peringkat umur atlet esok meskipun tiada sebarang perbincangan lanjut dengan PSK.

“Saya tidak nampak apa re­levannya dan kenapa kita harus bertindak terburu-buru seperti itu. Berkemungkinan sudah terdapat perancangan satu atau dua PSK yang ingin membawa suatu pendekatan baharu dengan hala tuju mereka yang tertentu.

“Bagi PSK, mereka mungkin sudah membuat persediaan awal. Jika benar sudah ada persiapan awal ia adalah perkara yang baik buat mereka. Tetapi tolonglah jangan main paksa persatuan sukan lain.

“Kita juga ada indeks prestasi utama (KPI) kita tersendiri. Malahan, saya yakin jurulatih juga ada sasaran sendiri. MOM wajib menghormati PSK yang lain. Adalah tidak adil jika hanya beberapa persatuan bersetuju maka yang lain pula menjadi mangsa,” katanya pada sesi sidang akhbar di ibu negara semalam.

PSM berharap MOM melakukan perbincangan dengan semua PSK sebelum membuat keputusan rasmi demi menjaga maruah negara yang akan bertanding pada Sukan SEA nanti.

“Apa yang kita risaukan, jika menghantar atlet yang tidak bersedia, besar kemungkinan pingat juga kita tidak dapat malahan peringkat kumpulan juga kita tidak lepas.

“Saya harap, MOM perlu me­lakukan perbincangan secara mendalam hasrat untuk melaksanakan rancangan ini. Bagi PSM, belum masanya untuk mengehadkan pemain bawah 23 tahun. Apa akan terjadi kepada pemain senior selepas ini. Adakah persiapan mereka sia-sia.

“Adilkah atlet kita berkorban dan masih lagi boleh berkhidmat tetapi mereka dipaksa digugurkan daripada skuad kebangsaan. Adakah berbaloi pelaburan kerajaan yang menjadikan mereka atlet sebelum ini dan digugurkan atas faktor ini.

“Bagi PSM amatlah merugikan pada saat kita baru nak menuai hasilnya dengan tiba-tiba mereka dipaksa berhenti. Betulkah pe­rancangan yang akan MOM lakukan ini,” ujarnya.

Pada edisi lalu di Manila, Fi­lipina, skuad kebangsaan gagal mempertahankan emas apabila menyaksikan mereka pulang dengan dua perak dan satu gangsa. Tidak seperti ketika Malaysia menjadi tuan rumah, skuad kebangsaan meraih dua emas, tiga pe­rak dan enam gangsa pada tahun 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI