fbpx

Polis tahan 4 penjual buah termasuk 3 pemegang kad UNHCR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POLIS menasihati beberapa orang penjual buah yang ditahan dalam satu operasi dijalankan.

SERDANG – Polis menahan empat lelaki termasuk tiga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dalam satu Operasi Kesedaran Penjaja Jalanan hari ini, kerana menjual buah dan makanan ringan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Kinrara 6 dan Jalan Lestari Perdana, Seri Kembangan.

Operasi dijalankan bermula pukul 3.30 petang hari ini susulan maklumat orang ramai setelah tinjauan dilakukan sejak Ahad lalu untuk kenal pasti aktiviti jualan itu dijalankan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, polis menahan empat suspek termasuk tiga pemegang kad UNHCR dan seorang warga tempatan berusia antara 21 hingga 27 tahun.

“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut.

“Atas sifat kemanusiaan, kami melepaskan kesemua suspek selepas menasihati dan memberi pengajaran kepada mereka supaya tidak mengulangi perkara itu lagi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, jika mereka meneruskan aktiviti tersebut tindakan akan diambil pihak berkuasa.

“Penjual boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 10A(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Bagi pengguna jalan raya yang membeli juga boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 10A(2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” ujarnya.

Jelasnya, beliau menasihati individu yang mahu menjalankan perniagaan itu secara sah dengan memohon lesen kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Mengulas lanjut, ketika diminta untuk mengulas mengenai pembabitan pihak ketiga, beliau tidak menafikannya.

“Saya tidak menolak kemungkinan penglibatan pihak ketiga memandangkan tangkapan tiga pemegang kad UNHCR, disebabkan itu kami mengambil keterangan semua individu yang ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI