PETALING JAYA – Tindakan nekad dua anggota polis mengejar sebuah kenderaan yang lari daripada pemeriksaan berakhir dengan tragedi apabila merempuh sebuah kereta lain di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Haji Ahmad Shah-Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur di sini malam tadi.
Akibat rempuhan itu, Lans Koperal Muhamad Sha’ad Muhamad Sha’id, 28, cedera di tangan kiri manakala rakan setugas, Lans Koperal Muhammad Ramadhan Ghazali, 27, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.20 malam ketika kedua-dua anggota dari Cawangan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul mengejar sebuah kenderaan yang lari daripada pemeriksaan polis.
Jelasnya, kemalangan berlaku ketika kereta peronda polis jenis Honda Civic mengejar sebuah kereta Volkswagen Golf GTi dipandu seorang lelaki dengan memasang lampu beacon dan siren.
“Ketika melalui lokasi kejadian, secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 26 tahun keluar dari kiri jalan.
“Tindakannya keluar secara mengejut menyebabkan kereta peronda gagal mengelak lalu merempuh kenderaan tersebut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, ekoran rempuhan itu, salah seorang anggota polis yang juga pemandu mengalami kecederaan di tangan kiri manakala pemandu Perodua Myvi turut cedera di bahagian perut.
“Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. K! ONLINE