PETALING JAYA – Kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Triang 3, Bera, Pahang bermula 18 Februari 2021 hingga 3 Mac 2021.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu akan melibatkan Perumahan Kelapa Sawit dan Taman Lamanda Permai di Felda Triang 3 yang merangkumi 1,356 orang penduduk.
“Kementerian Kesihatan (KKM mengesahkan sebanyak sembilan kes positif telah dilaporkan dan sehingga 16 Febuari 2021, seramai 79 kontak rapat telah dikenal pasti tinggal di lokaliti ini.
“Keputusan itu dibuat selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, KKM akan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat untuk memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan seramai 594 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam dan daripada jumlah itu, 569 dikompaun manakala 25 lagi individu direman.
“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 77,759 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.
“Antara kesalahan yang direkodkan ialah rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (127), tiada penjarakan fizikal (144), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (74), tidak memakai pelitup muka (77), Keluar rumah tanpa alasan munasabah (57), membawa penumpang berlebihan (31), aktiviti pusat hiburan (23), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (5), aktiviti sukan (17), ingkar arahan kuarantin (1) dan lain-lain (38),” ujarnya. – K! ONLINE