KUALA TERENGGANU – Seorang penternak lembu ditemui mati lemas di Sungai Nerus berhampiran Kampung Jeram Kolam Pinang di sini hari ini.
Mangsa, Muhammad Aidil Che Ramli, 20, ditemui lepas pada 4.37 petang kira-kira lebih dua jam dilaporkan hilang di sungai tersebut yang berhampiran dengan rumahnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Terengganu, Rozizah Abnihajar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik
menerima laporan berhubung kes lemas tersebut pada pukul 4.05 petang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, seramai tujuh anggota bomba telah melakukan pencarian dengan melakukan selaman di kawasan sungai tersebut.
“Selaman tersebut telah berjaya menemui mayat mangsa tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang kira-kira setengah jam kemudian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Rozizah berkata, mayat Mohd. Aidil ditemui dalam kedalaman kira-kira 15 meter di dasar Sungai Nerus.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat.
“Punca kejadian lemas itu masih dalam siasatan,” katanya. – K! ONLINE