PETALING JAYA – Kejutan demi kejutan. Itu yang dapat ditakrifkan bagi episod akhir Takdir Yang Tertulis yang bersiaran dalam slot Samarinda TV3 malam tadi.
Rata-rata netizen khususnya dalam Twitter menyifatkan penamat TYT tidak memberi peluang mereka bernafas walau sesaat kerana tidak menjangkakan pengakhiran sebegitu.
Malah, minit-minit terakhir sebelum drama tersebut melabuhkan tirai juga sudah cukup membuatkan para penonton tercengang dengan penamat karya arahan Shahrulezad Mohameddin itu.
Perkara tersebut susulan status Mika lakonan Isaac Iman yang kekal menjadi tanda tanya, sama ada dia anak Ruhila (Elvina Mohamad) dengan Ean (Alvin Chong) atau Hakim (Muaz Fitri Maslan).
“Mika sebenarnya anak siapa? Stres dengan penamat sebab buat ramai terpinga-pinga. Ini bukan Takdir Yang Tertulis tapi Takdir Yang Tertipu!,” luah seorang netizen.
“Pengarah tolong sambung lagi satu episod untuk leraikan kekusutan dalam otak kami semua,” kata seorang lagi penonton.
Lebih menarik perhatian, selebriti terkenal, Neelofa turut berkongsi perasaan tentang episod akhir TYT.
“Penamat TYT seperti tercengang. Terpaling plot twist TYT,” ciapnya dalam Twitter.
Sehingga kini, pengakhiran drama 15 episod itu masih aktif dibahaskan pengguna media sosial.
Dalam pada itu, Shahrulezad menerusi siaran langsung dalam Instagramnya sejurus berakhir drama tersebut memberitahu babak mengejutkan yang ditayangkan pada minit terakhir malam tadi tidak diketahui langsung oleh pelakon lain.
“Babak Hakim itu hanya diketahui oleh saya, Uchee, jurukamera dan Muaz sahaja. Kami rahsiakan kejutan akhir itu daripada semua termasuk para pelakon.
“Apapun, harap penonton jangan terlampau beremosi kerana itu semua hanya drama. Bertenang dan terimalah hakikat jalan ceritanya sebegitu,” ujarnya.
TYT yang bersiaran sejak 21 Januari lalu dibintangi barisan pelakon hebat seperti Nad Zainal, Nazim Othman, Elvina, Alvin, Didie Alias dan Iman Suhana. – K! ONLINE