PETALING JAYA – Pakaian yang dikenakan pembaca berita lelaki dari sebuah stesen televisyen milik kerajaan yang tular semalam dikenali sebagai samfu.
Jurucakap stesen televisyen berkenaan menjelaskan bahawa pakaian pembaca berita berkenaan merupakan pakaian tradisi lelaki kaum Cina.
Samfu yang bermaksud baju dan seluar dalam dialek kantonis itu kebiasaannya diperbuat daripada kain nipis yang tidak bercorak atau berbunga halus.
Tambah jurucakap stesen televisyen berkenaan, pihaknya mengakui terdapat kesilapan pada saiz pakaian tersebut.
Katanya lagi, sebagai agensi kerajaan, pihaknya amat memandang berat terhadap isu budaya dan perkauman.
Kosmo! semalam melaporkan, gambar seorang pembaca berita lelaki di sebuah stesen televisyen milik kerajaan tular apabila dia dikatakan mengenakan pakaian seakan cheongsam ketika bersiaran pada Tahun Baru Cina, Jumaat lalu.
Gambar pembaca berita itu, Mohd. Dhihya Sahlan yang mengenakan pakaian tradisi kaum Cina berwarna merah itu turut mengundang pelbagai reaksi berbeza daripada pengguna laman media sosial.-K! ONLINE