MELBOURNE – Pemain No. 2 dunia, Rafael Nadal mengakui cukup bermotivasi untuk mencipta rekod kemenangan Grand Slam terbanyak dalam sejarah menjelang aksi suku akhir Terbuka Australia bertemu Stefanos Tsitsipas hari ini.
Rekod pemenang Grand Slam terbanyak bagi kategori perseorangan lelaki ketika ini dikongsi oleh Nadal bersama pemain sensasi Switzerland, Roger Federer dengan kejuaraan sebanyak 20 kali.
Kata Nadal, keghairahannya untuk menambah koleksi trofi tidak pernah terhenti meskipun usianya semakin meningkat malah, semakin bermotivasi selepas berpeluang mencipta kejutan pada kejohanan bertaraf Grand Slam kali ini.
“Saya akui berada dalam prestasi terbaik dan bersedia untuk melangkah jauh pada Terbuka Australia kali ini. Secara jujur, kecederaan yang saya alami sebelum ini agak merencatkan perjalanan karier saya.
“Namun, kini saya sudah kembali di landasan yang tepat dan jika keadaan mengizinkan, saya harap dapat mengakhiri saingan ini ini dengan trofi Grand Slam ke-21.
“Cuma, saya tidak boleh terlalu yakin kerana lawan saya di pusingan suku akhir nanti (Tsitsipas) sangat sukar dan saya perlu mempamerkan aksi terbaik jika berhasrat untuk menewaskannya,” kata Nadal.
Meskipun berjaya merekodkan 20 kejuaraan Grand Slam dalam kariernya, pemain tenis sensasi kelahiran Sepanyol berusia 35 tahun itu bagaimanapun hanya mampu menjulang satu kejuaraan di Terbuka Australia ketika menang ke atas Federer pada edisi 2009. – AGENSI