fbpx

Manfaatkan sistem gelembung sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SOPI SAMAILE,
PENGARANG BERITA KOSMO.

WARGA sukan di Malaysia berasa lega apabila kerajaan mengumumkan tiga kejohanan liga utama iaitu Liga Malaysia (Liga M), Sepak Takraw League (STL) dan Liga Hoki Malaysia (MHL) sudah dibenarkan menjalani latihan berpusat secara kuarantin bermula Isnin lalu.

Pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu dibuat selepas mendengar pembentangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang berusaha keras mahu menghidupkan semula industri sukan tanah air.

Bagaimanapun, pelaksanaannya bukan mudah seperti disangka kerana kumpulan terbabit perlu menjalani latihan di pusat yang ditetapkan dan pada masa sama dikuarantin mengikut sistem gelembung sukan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Apakah yang dimaksudkan dengan gelembung sukan? Sejak tahun lalu, sistem gelembung sukan sudah diguna pakai beberapa negara di Barat terutamanya Amerika Syarikat dalam meneruskan Liga Bola Sepak Amerika (NFL) dan Liga Bola Keranjang Kebangsaan (NBA).

Sistem gelembung sukan itu merujuk kepada kejohanan atau pasukan yang bersaing, diasingkan sama sekali daripada masyarakat umum selama mana kejohanan berlangsung meliputi tempat tinggal, kemudahan dan lokasi pertandingan tanpa kehadiran penonton.

Sudah tentunya kaedah itu digunakan sebagai tindakan mencegah penularan Covid-19 dan gelembung sukan dilihat langkah baharu dalam meneruskan bidang sukan dengan selamat ketika pandemik masih belum dapat dibendung sepenuhnya.

Mengikut SOP yang telah dikeluarkan oleh KBS, protokol am latihan mewajibkan para pemain, pegawai dan ahli keluarga dalam rumah menjalani ujian calitan PCR 3 sehari sebelum latihan menggunakan sistem gelembung sukan bermula.

Hanya pemain, pegawai dan ahli keluarga dengan keputusan negatif dibenarkan menjalani latihan dan sepanjang tempoh itu, mereka tidak dibenarkan menerima tetamu atau berkunjung ke mana-mana.

Bagi memastikan perkara itu dipatuhi, SOP memerlukan mereka yang terlibat memakai gelang pengawasan khas gelembung sukan untuk pemantauan pergerakan pemain, pegawai dan ahli keluarga, manakala surat kebenaran pergerakan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya meliputi perjalanan dari rumah ke venue latihan.

Itu antara SOP yang dilaksanakan dalam sistem gelembung sukan dan sebenarnya banyak lagi peraturan yang perlu mereka patuhi dalam memastikan aktiviti sukan di Malaysia dapat diteruskan.

Penulis tidak akan menghuraikan satu persatu SOP dalam gelembung sukan, namun berharap semua mereka yang terlibat (pemain, pegawai, pengurus, penganjur, ahli keluarga) dengan sistem tersebut wajib patuh dan manfaatkan kebenaran bersukan tanpa ambil mudah.

Jika berlaku pelanggaran SOP, pastinya akan memburukkan keadaan apatah lagi jika ada berlakunya kes jangkitan, pastinya segala perancangan akan musnah dalam sekelip mata. Jangan biarkan nila setitik, rosak susu sebelanga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI