SEBERANG PERAI – Lapan individu termasuk tiga warga emas ditahan polis ketika leka bermain judi di sebuah rumah sewa di Jalan Kampung Paya, Raja Uda, Butterworth di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mereka yang berusia di antara 54 sehingga 60 tahun itu ditahan semasa serbuan yang bermula pukul 10 pagi.
Katanya, kesemua mereka didapati berkumpul di dalam salah sebuah bilik di rumah sewa berkenaan dan leka bermain mahjong tanpa menghiraukan penjarakan fizikal.
“Modus operandi tuan rumah adalah dengan meletakkan lima ekor anjing dalam premis yang akan menyalak memberi amaran sekiranya ada pihak berkuasa datang.
“Kita percaya mereka berkumpul dan bermain judi sejak sehari sebelum Tahun Baru Cina iaitu bermula Khamis lalu dengan alasan bosan kerana sudah lama terperuk di rumah, namun ia tidak boleh dijadikan alasan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Noorzainy berkata, kesemua mereka masing-masing dikompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).- K! ONLINE