PETALING JAYA – Seiring norma baru, penyanyi Baby Shima bakal mengadakan mini konsert penstriman secara langsung menerusi aplikasi Bigo Live pada 18 Februari jam 9.30 malam.
Baby Shima atau pemilik nama penuh, Nor Ashima Ramli bukan sahaja akan membuat persembahan, malah turut beramah-mesra secara ekslusif dengan sepanjang siaran langsung berkenaan.
“Bigo Live menjadi platform untuk saya berinteraksi bersama audiens dengan cara yang menyeronokkan dan tidak terbatas oleh Perintah Kawalan Pergerakan yang masih dilaksanakan.
“Saya dapat berhubung dan berkongsi minat bersama peminat di Malaysia menerusi medium digital, Bigo Live buat pertama kalinya. Malah, para peminat juga bakal berhibur dengan lagu permintaan mereka.
“Teruja rasanya dan saya berharap agar semuanya berjalan dengan lancar,” kata Bintang Idola Berita Harian 2010 itu.
Selain itu, tiga pemenang bertuah akan turut dipilih dan berpeluang untuk mendapat panggilan video peribadi bersama Baby Shima dalam sesi strim langsung bertemu peminat pada 22 Februari depan jam 9.30 malam.
Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak tahun lalu, ternyata memberi impak kepada industri hiburan terutama mereka yang bergerak secara aktif dalam bidang nyanyian.
Bukan saja terkesan dari aspek pendapatan, ada antara penggiat seni yang hilang punca rezeki berikutan larangan persembahan secara langsung dan terbuka bagi mematuhi prosedur standard (SOP) mengekang wabak berkenaan.
Untuk mengambil bahagian dalam strim langsung ini, khalayak hanya perlu memuat turun aplikasi Bigo Live dan ikuti Baby Shima (ID pengguna @babyshimaofficial).
Untuk informasi lanjut, ikuti Bigo Live Malaysia melalui aplikasi Facebook. – K! ONLINE