POPULARITI penyanyi Nur Fatima kembali menyengat saat merangkul tempat keempat menerusi rancangan televisyen popular Gegar Vaganza musim enam (GV6) pada 2019.
Tuah menyertai program tersebut, bakat pelantun lagu Selembut Sutera itu kembali diperkatakan dan kini bersedia untuk membuat kemunculan semula sekali gus kembali memahatkan namanya sebagai penyanyi di jiwa peminat.
Pengalaman 20 tahun berkecimpung dalam industri mahu digunakan sebaik mungkin, namun faktor tersebut bukanlah sandaran yang mudah.
“Untuk kekal dalam industri bukannya mudah, lebih-lebih lagi apabila kalau dinilai dari segi populariti kerana ada naik dan turunnya,” katanya.
Namun pemilik nama Nur Fatima Abd. Wahab atau lebih dikenali sebagai Nur Fatima tetap bulatkan hati untuk kembali aktif dan mempertaruhkan lagu baharu bagi meneruskan survival dalam lapangan seni.
Single baharu
Biarpun lama menyepi dek 10 tahun menetap di Australia, wanita berusia 34 tahun itu bangkit membuktikan kesungguhan untuk kembali dalam bidang nyanyian menerusi single baharu bertajuk Galeri.
Berkolaborasi dengan bintang rap Kayda, Galeri merupakan lagu ciptaan Omar K, Audi Mok, Altimet, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga.
Memiliki gabungan nuansa muzik pop dan balada, Nur Fatima menyahut cabaran untuk tampil berbeza dan segar sebagai sandaran baharu untuk pendengar.
Ditambah pula elemen hip hop dengan gaya suara rap Kayda membuatkan single Galeri kedengaran lebih bertenaga dan sesuai dengan cita rasa pendengar masa kini.
“Perasaan takut untuk mencuba perkara itu ada tetapi saya optimis dan menyahut cabaran ini. Biarpun sedikit berbeza dengan genre muzik yang pernah dibawa sebelum ini, saya mengharapkan single ini mendapat sambutan baik daripada pendengar,” katanya penuh semangat.
Isteri kepada Mohd Jeffry Wain Wright itu turut berkongsikan makna di sebalik tajuk lagu yang diberi judul Galeri.
“Lagu ini mengisahkan seseorang yang telah berpisah dengan pasangan dan sedang dalam proses untuk meneruskan hidup.
“Perkara itu lantas membangkitkan semula memori silam terutama apabila menatap gambar ketika bersama dalam media sosial yang diibaratkan seperti sebuah galeri,” terangnya.
Syarikat rakaman Warner Music Malaysia turut memainkan peranan penting dalam memberi dorongan dan tunjuk ajar untuk mencuba genre baharu itu.
“Peminat sebelum ini mengenali saya dengan lagu balada sehinggakan ada antara mereka yang mengharapkan single baharu dengan genre sebegitu.
“Tetapi setelah bersepakat, pihak pengurusan menyakinkan saya untuk mencuba sesuatu baharu dan menampilkan kelainan menerusi single duet.
“Ini akan menjadi satu tarikan baharu dan saya dan berbeza daripada yang pernah dilakukan sebelum ini,” jelasnya panjang lebar.
Disebabkan pandemik Covid-19 masih belum reda, syarikat rakaman mengambil keputusan untuk menghasil video muzik dalam bentuk animasi.
“Biarpun tidak menggambarkan keseluruhan jalan cerita lagu tersebut tetapi pihak pengurusan berusaha untuk mengolahnya agar lebih menghiburkan kerana kelainan yang ditonjolkan,” katanya seraya ketawa.
Aktiviti
Memandangkan kebanyakan aktiviti seni tidak dapat dilakukan, Nur Fatima tidak menjadikan semua itu sebagai alasan untuk mengalah dan berhenti daripada usaha membuat kemunculan semula.
Sebaliknya dia meluangkan waktu dengan melakukan sesi latihan di studio di kediamannya, selain mengumpul material baharu untuk lagu akan datang.
“Saya juga akan melakukan aktiviti seperti bersenam, melakukan yoga, mendaki dan bermain dengan haiwan peliharaan saya seekor burung bernama Koa,” tuturnya.
Pemilik Ijazah Sarjana Kejuteraan Audio di Institut SEA, Sydney itu juga sentiasa mengingatkan ahli keluarga yang berada di Malaysia agar menjaga kesihatan diri disebabkan jumlah kes setiap hari masih berada pada tahap membimbangkan.
Faktor usia kedua-dua orang tuanya menambahkan lagi kerisauan sementelah dia berada beribu kilometer jauh daripada ibu bapanya di Kuala Lumpur.
“Pastilah saya risau kerana kami berjauhan. Sekiranya berlaku sebarang perkara, saya tidak mampu untuk pulang pada kadar segera. Namun saya percaya bahawa mereka sentiasa berada dalam keadaan baik,” luah
Nur Fatima sambil berharap Galeri mampu mengubat kerinduan peminat terhadap dirinya.