fbpx

Empat parah kemalangan dua kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN kenderaan pasukan trafik IPD Pengkalan Hulu, Perak jenis Nissan X-Trail yang terlibat kemalangan di simpang empat Carok Nau, Jalan Baru Baling/Kupang di sini malam semalam.

BALING – Empat termasuk seorang wanita yang mengandung tujuh bulan cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di simpang empat Carok Nau, Jalan Baru Baling/Kupang di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu turut mengakibatkan bayi perempuan dalam kandungan wanita terbabit, Norashikin Abdullah, 28, meninggal dunia.

Kemalangan tersebut membabitkan lima sekeluarga yang menaiki kereta jenis Proton Waja dan kenderaan pasukan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pengkalan Hulu, Perak jenis Nissan X-Trail.

Pemandu Proton Waja, Mohd. Hanapiah Abdullah, 30, dan isterinya, Norashikin serta seorang anak mereka, Mohd Amzan Haziq, 5, cedera parah.

Dua lagi anak mereka iaitu Mohd. Adam Haziq Mohd. Hanapiah, 11, dan Mohd. Haris Mohaimin, 9, masing-masing cedera ringan dan tidak mengalami kecederaan.

Sementara pemandu kenderaan polis yang merupakan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Pengkalan Hulu cedera parah.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Waja dinaiki lima sekeluarga tersebut datang dari arah Baling menghala Kupang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Nissan X-Trail yang dipandu pegawai polis keluar dari simpang seterusnya menyebabkan Proton Waja itu terlanggar bahagian hadapan sebelah kanan kenderaan polis tersebut.

“Pelanggaran itu mengakibatkan Proton Waja itu terbabas ke kanan jalan dan melanggar pengadang besi di tepi jalan, manakala Nissan X-Trail berpusing di tengah jalan,” katanya di sini hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI