fbpx

Bunga setahun tanpa Ashraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUNGA CITRA LESTARI

ESOK, setahun pelakon yang juga penyanyi Bunga Citra Lestari kehilangan insan yang selama ini menjadi sebahagian dalam hidupnya.

Tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya untuk bergelar ibu tunggal dalam sekelip mata.

Bagi insan lain, tempoh 12 tahun melayari bahtera alam rumah tangga boleh dianggap satu tempoh yang cukup lama.

Namun, bagi wanita yang mesra disapa BCL itu, rasanya seperti baru semalam dia disunting suami, Allahyarham Ashraf Sinclair menjadi isteri yang sah. Dia juga belum puas bergelar suri hati suaminya yang tiba-tiba pergi menyahut panggilan Illahi.

Sekelip mata statusnya berubah. Sejak pemergian Ashraf pada 18 Februari tahun lalu, tidak pernah sehari pun dia tidak merindui si suami.

FOTO kenangan Bunga bersama suami tercinta sewaktu percutian terakhir mereka di New York, Amerika Syarikat, beberapa hari sebelum kematian Ashraf.

“Saat dia (suami) pergi, saya sudah dapat menerima bahawa suami saya sudah tiada. Tetapi entah kenapa saya masih berharap itu cuma mimpi buruk.

“Bertahun saya menjadi pelakon, saya sudah biasa menyerap emosi kehilangan seperti yang diinginkan pengarah. Namun pengalaman itu (berlakon) ternyata tidak mampu membuatkan saya bersedia berdepan dengan kehilangan sebenar,” ujarnya dalam temu ramah program The Untold Story About Love Story bersama pengacara Daniel Mananta.

Dalam pendedahan eksklusif menerusi YouTube tersebut, Bunga berkata, dia harus menerima pemergian suaminya secara tiba-tiba.

Sama seperti manusia lain, Bunga masih berharap apa yang terjadi sekadar mimpi dan ingin segera sedar daripada terus dilamun mimpi buruk.

“Selepas beberapa hari Ashraf pergi, saya asyik menampar muka sendiri. Bangunlah! Kenapa saya masih tidak bangun daripada mimpi.

“Ashraf orang pertama paling rapat dalam hidup saya. Tetapi kemudian dia pergi meninggal saya. Saya cakap, Tuhan, aku reda dan aku ikhlas. Mujur tidak ada perkara yang membuatkan saya histeria kerana tidak dapat menerima kematiannya,” ujar Bunga.

Dalam program sebanyak tiga episod tersebut, Bunga mengakui sepanjang tempoh kehilangan, dia cuba menyesuaikan diri dengan ketiadaan suami yang selama ini memimpin hidupnya.

BUNGA bersama Noah melawat kubur suaminya, Ashraf Sinclair yang meninggal dunia pada 18 Februari tahun lalu akibat serangan jantung.

Tidak pernah sedikit pun Bunga menyalahkan takdir. Sebaliknya, apa yang dibimbangkan hanyalah bagaimana dia harus meneruskan hidup tanpa lelaki tercinta.

“Selama saya hidup, saya diajar untuk menerima apa sahaja situasi. Apa yang terjadi, penerimaan itu penting. Baru boleh ke peringkat seterusnya.

“Saya tertanya-tanya apa yang akan terjadi terutamanya terhadap hidup saya dan anak, Noah Aidan Sinclair. Saya masih ada bapa, begitu juga Ashraf,” kata Bunga.

Namun, apa yang membuatkan wanita berusia 38 tahun itu sedih, apabila memikirkan Noah sudah kehilangan bapa pada usianya masih muda.

“Di mana saya boleh cari lelaki sebegitu untuk Noah?” ujarnya sambil menyeka air mata.

BUNGA bersama anak tunggalnya, Noah yang kini berusia 11 tahun.

Dengan nada tenang, Bunga menyifatkan kehilangan Ashraf membuatkan dia kembali terfikir apa sebenarnya yang dicari dalam hidup.

Kata Bunga, dia seorang yang teratur dan mempunyai susunan dalam hidup. Maksudnya, ada masa untuk keluarga dan kerja.

“Saya tidak berkata bahawa saya menyesal kerana memberi tumpuan terhadap kerjaya. Tetapi apabila difikirkan semula, saya tertanya-tanya untuk apa saya berlari-lari selama ini? Apa yang saya kejar?

“Kalaulah saya tahu waktu antara saya dengan dia (suami) cuma ada 12 tahun, mungkin keutamaan saya juga berubah,” kata Bunga yang kini hadir dengan lagu Love Story dendangan asal, Andy Williams yang diberi nafas baharu.

Terdahulu, Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohamed Sinclair, 40, dilaporkan meninggal dunia pada 18 Februari tahun lalu akibat serangan jantung sekitar pukul 4 pagi di rumahnya di Pejaten Barat, Jakarta Selatan, Indonesia.

Berita kematian pelakon kelahiran Malaysia itu menggemparkan dunia hiburan kedua-dua buah negara. Moga roh Allahyarham Ashraf ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.

BUNGA saat ditemu bual dalam program The Untold Story About Love Story bersama Daniel Mananta dalam saluran YouTube baru-baru ini.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI