LANGKAWI – Seorang bekas imam yang kini bekerja sebagai jurubekam merupakan antara yang ditahan kerana memiliki dadah dalam tiga tangkapan berasingan menerusi Ops Tapis di sini tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, lelaki yang berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Pantai di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
“Pemeriksaan di atas meja solek di bilik hotel tersebut menemui satu peket plastik lut sinar berisi dadah jenis syabu dianggarkan seberat 1.1 gram (g).
“Kita turut menemui satu peket lut sinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan berat 3.5g dan satu botol kaca berisi dadah jenis syabu dengan berat 10.2g,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi di sini hari ini.
Kata beliau, suspek yang berasal dari Pulau Pinang didapati mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan satu rekod di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Suspek direman selama lima hari dengan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Menurut Shariman, tangkapan kedua pula membabitkan seorang lelaki berusia 45 tahun yang bekerja sebagai nelayan di hadapan sebuah restoran di Jalan Datai, Kampung Baru Felcra Kok di sini kira-kira pukul 4 petang semalam.
“Pemeriksaan mendapati suspek memegang satu beg kecil di tangan kanannya yang mengandungi empat peket plastik lut sinar berisi dadah jenis heroin dianggarkan seberat 41g dan satu peket plastik lut sinar berisi syabu dengan berat anggaran 4.7g,” katanya.
Katanya, tangkapan ketiga pula melibatkan seorang lelaki berusia 37 tahun di hadapan sebuah rumah di Kampung Belibis, Teluk Ewa kira-kira pukul 5.30 petang.
“Pemeriksaan menemui satu beg mengandungi 13 peket plastik lut sinar berisi heroin kira-kita 117.5g dan tiga peket plastik lut sinar berisi syabu dengan berat 3.4g,” ujarnya.
Tambahnya, kedua-dua suspek direman tujuh hari dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) ADB 1952.
“Kesemua dadah jenis heroin, syabu dan ganja yang dirampas dalam tiga tangkapan tersebut dianggarkan bernilai RM7,665,” katanya. – K! ONLINE