IPOH – Seramai 14 lelaki termasuk tiga warga emas ditangkap ketika asyik bermain judi sabung ayam di kawasan kebun berpagar di Menglembu di sini semalam.
Kesemua lelaki berusia antara 25 hingga 71 tahun itu diberkas dalam serbuan Op Limau oleh pasukan risik operasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada pukul 11.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas lima ekor ayam sabung, lima buah sangkar, satu jam penggera digital, empat gulung kotak yang dijadikan gelanggang dan empat kerusi.
Katanya, turut dirampas bersama kesemua suspek ialah wang tunai berjumlah RM25,078.
“Ketika serbuan dijalankan, kesemua suspek cuba melarikan diri namun mereka berjaya ditangkap.
“Siasatan mendapati, aktiviti perjudian sabung ayam itu telah berlangsung sebanyak lima kali di mana ayam akan bersabung dalam tempoh 20 minit sekali pusingan dengan masing-masing meletakkan wang pertaruhan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan juga mendapati aktiviti itu meletakkan had wang pertaruhan antara RM500 ke RM1,000.-K! ONLINE