MELAKA – Seorang warden wanita Sekolah Henry Gurney (SHG) ‘diheret’ oleh penyelianya ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah sebelum ditahan polis selepas didapati positif dadah jenis amphetamine (AMP) dan syabu, semalam.
Wanita yang juga ibu lapan anak berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.15 malam di IPD berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, suspek telah dibawa oleh penyelianya ke IPD selepas mengesyaki wanita terbabit terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine (AMP) dan syabu.
“Pemeriksaan di rumah suspek di Serkam bagaimanapun tidak menjumpai apa-apa bahan terlarang (dadah),”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ujarnya, hasil soal siasat, suspek mengakui telah bekerja sebagai warden di SHG di Telok Mas selama 16 tahun.
“Siasatan lanjut turut mendapati suspek telah terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak lima tahun lalu.
“Wanita itu kini direman selama tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Katanya, sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.-K!ONLINE