PUTRAJAYA – Vaksin Covid-19 adalah antara sinar harapan negara paling utama untuk menang dalam perang melawan wabak itu,” kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, program imunisasi menyeluruh itu bagi memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar rantaian penularan jangkitan diputuskan dan akhirnya menamatkan pandemik Covid-19.
Menurutnya, impak positif akan dirasai rakyat di negara ini apabila semua individu telah dilindungi dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjaya dilaksanakan.
“Pelbagai sektor ekonomi akan dibuka semula, seperti pelancongan dan kita boleh saling ziarah-menziarahi serta bersukan tetapi dengan mengamalkan norma baharu.
“Pastinya, satu lembaran baru bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada penghujung bulan ini,” katanya semasa melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, masyarakat dinasihatkan agar tidak berlengah untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19 apabila tiba masanya.
“Ingatkan saudara-mara dan rakan-rakan untuk turut serta. Pastikan kita hadir pada waktu yang telah ditetapkan untuk dos pertama dan dos kedua.
“Ini kerana apabila diri kita dilindungi, kita juga dapat melindungi yang lain terutama orang yang disayangi,” katanya.
Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu diterbitkan untuk menerangkan dengan lebih lanjut berhubung dasar program imunisasi dan sebagai rujukan para pembuat dasar, pelaksana serta masyarakat.
Buku itu boleh dimuat turun di laman web www.VaksinCovid.gov.my. -K!ONLINE