LIPIS – Seekor ular kapak tokong yang beberapa hari berada di sebatang pokok dan mengganggu ternakan di sebuah reban ayam di Sungai Kerpan 3 di sini berjaya ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) hari ini.
Pegawai APM Lipis, Mohd. Azhar Yusof berkata, ular kapak tokong seberat 1.5 kilogram itu berjaya ditangkap kira-kira pukul 4.58 petang oleh anggota APM Lipis.
“Pengadu memaklumkan bahawa ular tersebut sudah beberapa hari berada di dahan pokok dan mengganggu ternakan sehingga seekor ayam mati dengan kesan patukan ular dan beberapa biji telur telah dipecahkan ular berkenaan.
“Pihak APM yang tiba mendapati seekor ular berada di dahan pokok dan mengambil masa selama lapan minit untuk menangkap ular berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, tiada kecederaan melibatkan anggota APM dilaporkan dalam operasi itu dan ular berkenaan kemudiannya dilepaskan ke kawasan tidak berpenghuni. – K! ONLINE