fbpx

Sesi libat urus sedia info tepat mengenai vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan sesi libat urus yang lebih meluas dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan pengamal perubatan swasta bagi memastikan maklumat mengenai vaksin diberikan secara tepat dan sahih.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, libat urus itu penting supaya mereka dapat memberi maklumat yang sahih dan bukti yang kukuh mengenai vaksin yang akan diagihkan kelak.

Beliau berkata, perkara itu juga penting supaya rakyat dapat mempercayai vaksin yang akan diguna pakai itu.

“KKM terbuka dengan setiap pandangan individu dan pelbagai pihak mengenai program vaksinasi Covid-19 itu.

“Namun, apa yang penting, KKM menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sudah mendapatkan pandangan pakar mengenai vaksin itu.

“Apa yang kita laksanakan ialah kita perlu bersandarkan kepada bukti-bukti saintifik. Sebelum kita luluskan vaksin, NPRA akan melihat kepada kajian klinikal fasa tiga vaksin itu serta keberkesanan dan keselamatan vaksin berkenaan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas  pandangan dikeluarkan segelintir pengamal perubatan yang dikesan memberi maklumat tidak tepat mengenai vaksin Covid-19 sehingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

Katanya, jika vaksin itu ada kesan sampingan, KKM akan mengenal pasti laporan-laporan (kesan sampingan) oleh negara-negara lain sebelum memaklumkannya kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ditanya persediaan KKM menjelang agihan pertama vaksin Covid-19 di Malaysia bermula 26 Februari ini, Noor Hisham berkata, pihaknya sudah siap siaga sejak Ogos tahun lalu daripada pelbagai aspek.

Menurutnya, KKM sudah menyediakan prasarana bagi mendapatkan vaksin dengan selamat dan menyimpannya dengan selamat. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI