KEMAMAN – Seorang penghantar barangan sambilan yang sedang dalam perjalanan menghantar barang kepada pelanggan ditahan polis kerana disyaki penagih dadah di Jalan Kerteh-Kampung Chabang di sini semalam.
Sebelum ditahan pada pukul 4.30 petang itu, lelaki berusia 31 tahun menaiki kenderaan pikap Nissan Navara cuba melarikan diri dari sebuah sekatan jalan raya (SJR) sebelum berjaya ditahan selepas dikejar lebih dua kilometer oleh kereta peronda polis.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pemeriksaan pada suspek yang baru lima hari bekerja di sebuah syarikat penghantaran kurier itu menjumpai bungkusan dipercayai syabu dan peralatan untuk menghisap dadah.
“Ujian urin juga mendapati dia positif dadah jenis Methapitamine. Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, suspek yang menetap di Kemasik dekat sini mengaku terjebak dalam penyalahgunaan dadah sejak lapan bulan lalu.
Dia yang berkelulusan Diploma Mekanikal mengambil dadah bagi meredakan tekanan akibat diberhentikan kerja di sebuah syarikat swasta ekoran penularan Covid-19 pada bulan Julai tahun lalu.
“Saya amat tertekan kontrak kerja tidak disambung sedangkan komitmen bulanan saya tinggi untuk membayar rumah dan kereta.
“Saya mencuba dadah selepas diperkenalkan kawan dan masalah yang membuat saya kusut hilang seketika setiap kali mengambilnya,” katanya.
Lelaki itu mendakwa, dia sudah cuba meninggalkan amalan buruk itu apabila diketahui isterinya namun setakat ini gagal kerana sudah ketagihan. – K! ONLINE