AKTRES Hwang Jung-eum perlahan-lahan tampil berkongsi gambar terkini dalam media sosial selepas lebih tiga bulan episod perceraiannya berlaku.
Tanggal 11 Februari lalu, Jung-eum memuat naik sekeping foto dengan menulis kapsyen ucapan selamat tahun baharu kepada peminatnya.
Dalam foto berkenaan, dia yang menyarung jaket bersaiz besar dan memakai skaf pada kepala kelihatan memandang ke arah kanan di sebuah lokasi tidak diketahui tanpa memperlihatkan wajahnya.
Terdahulu, pelakon drama Kill Me Heal Me itu pernah memuat naik sekeping foto hujung bulan lalu selepas tiga bulan dirinya bercerai.
Aktres itu mengejutkan ramai pihak apabila memfailkan perceraian terhadap suaminya pada September tahun lalu selepas empat tahun berkahwin.
Perkara tersebut ternyata mengejutkan peminat kerana tiga bulan sebelum dirinya bercerai, Jung-eum sempat memuat naik gambar swafoto mesra bersama suaminya dalam media sosial.
Aktres itu mengahwini bekas suaminya yang merupakan seorang pemain golf profesional dan ahli perniagaan pada 2016.