PASIR PUTEH – Dua sahabat karib ditahan selepas mereka disyaki menyamar sebagai pegawai polis sebelum terlibat dengan dua kes samun warga Myanmar dalam kejadian berasingan di sini baru-baru ini.
Dua lelaki masing-masing berasal dari Kuala Besut, Terengganu itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di rumah mereka di Besut semalam
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, siasatan mendapati, dua lelaki itu melakukan kes samun menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Katanya, mereka dipercayai menggunakan lampu mata arah (lampu kecemasan polis) yang diletakkan di atas papan pemuka kenderaan bagi menakutkan dua orang mangsa warga Myanmar itu.
“Kejadian pertama berlaku pada 24 Januari lalu ketika mangsa yang berusia 33 tahun berada di hadapan rumahnya di Kampung Lembah Gong Garu di sini sebelum dua lelaki yang menaiki kenderaan pacuan empat roda memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.
“Salah seorang suspek telah menarik mangsa masuk ke dalam kenderaan mereka dan membawanya ke Kampung Dalam Rhu dekat sini. Mereka telah merampas sebuah telefon bimbit dan sejumlah wang tunai sebelum meninggalkan mangsa di situ,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Wan Khairuddin berkata, kes kedua pula berlaku pada 5 Februari lalu apabila kedua-dua suspek sama bertindak menyamun seorang lagi lelaki warga Myanmar yang berusia 22 tahun ketika dia sedang menunggang motosikal kira-kira pukul 7.30 malam di Kampung Sungai Petai di sini.
Katanya, modus operandi mereka juga sama iaitu memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sebelum menggari warga asing itu dan memukul bahagian muka mangsa.
Polis polis berjaya mengesan kedua-dua yang tidak bekerja dan menahan mereka di rumah mereka untuk siasatan lanjut.
Menurut Wan Khairuddin, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, gari, pisau, empat telefon pintar, satu unit siren, satu lampu mata arah dan dua sarung gari.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah dan mereka juga pernah terlibat dengan dua lagi kejadian samun di Kuala Besut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun secara berkumpulan. – K! ONLINE