KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) bersedia mengeluarkan kos dianggarkan berjumlah hampir RM300,000 bagi menanggung perbelanjaan setiap pasukan sepanjang berada dalam sistem gelembung saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021.
Ia selepas MHC mengumumkan tarikh baharu penganjuran MHL 2021 yang akan dijalankan secara berpusat di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 11 Mac hingga 3 April depan.
Naib Presiden MHC, Datuk Seri Dr. Anil Jeet Singh menyeru agar semua pasukan bertanding melibatkan hampir 600 peserta akan dapat mematuhi segala peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang tiga minggu saingan berlangsung.
“Selepas beberapa perbincangan dengan MSN (Majlis Sukan Negara) secara online, pihak kami akhirnya memutuskan MHL bagi kategori lelaki akan berjalan dari 11 Mac hingga 3 April, manakala 15 Mac hingga 3 April untuk saingan wanita.
“SOP diguna pakai adalah sistem gelembung iaitu berpusat di satu tempat. Buat masa ini kami sudah kenal pasti beberapa tempat untuk memberikan kemudahan selesa kepada semua pasukan yang akan lapor diri pada 10 Mac nanti.
“MHC akan menanggung segala kos termasuk pengangkutan, makan minum dan tempat tinggal sepanjang berada dalam sistem gelembung.
“MHC juga akan membayar ujian RTK (kit ujian pantas) yang perlu dilakukan pemain-pemain semasa MHL berlangsung.
“Jangan ada pemain atau jurulatih yang keluar apabila sudah masuk tempat kuarantin. Tolong patuhi peraturan sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya pada sidang akhbar pengumuman penganjuran MHL di Stadium Hoki Nasional semalam.
Pada masa sama, Anil mendedahkan, kesemua lapan pasukan bagi saingan lelaki dan enam untuk kategori wanita kekal mengambil bahagian pada saingan MHL 2021 yang sebelum ini terpaksa ditunda daripada tarikh sebenar, 14 Januari lalu.
Sebagai rekod, saingan lelaki melibatkan juara bertahan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pasukan Hoki Terengganu (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank, TNB Thunderbolts, Universiti Teknologi Mara, Nurinsafi dan Sabah.
Kategori wanita pula bakal menyaksikan pasukan-pasukan seperti PKS Uniten–KPT, Blue Warriors, Mutiara Impian MSSPP-PSHA, Sabah, Young Tigress dan UniKL Ladies.