SALEM, Oregon – Seorang lelaki di Amerika Syarikat fobia mencari pasangan melalui media sosial ekoran bapanya dkatakan mempunyai sehingga 50 orang anak hasil daripada perbuatan mendermakan sperma, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Bapa Zave Fors, 24, dari kota raya Portland, dalam negeri Oregon dikatakan telah mendermakan spermanya sebanyak 500 kali.
Zave berkata, dia mendapat tahu mengenai ‘kegiatan’ ayahnya menerusi laman web Ancestry.com yang mendedahkan bahawa pendermaan sperma tersebut dilakukan beratus-ratus kali dalam tempoh 10 tahun.
“Tidak mengetahui bilangan sebenar adik-beradik membuatkan saya sukar mencari pasangan.
“Apabila saya menggunakan laman perkenalan Tinder, saya tidak tahu sama ada individu ditemui adalah adik-beradik saya atau sebaliknya,” kata pemuda tersebut.
Zave sebelum ini berjaya mengesan lapan adik-beradik termasuk abangnya, Daron McClennan-Colon menggunakan media sosial.
Daron dilahirkan oleh penerima sperma bapanya dan tinggal hanya beberapa kilometer sahaja dari rumah Zave..
Mereka pernah pergi ke sekolah yang sama, malah mempunyai memori antara satu sama lain.
“Adik-beradik yang lain pun mempunyai pengalaman serupa. Dua daripada mereka tinggal di kawasan kejiranan sama,” katanya. – Agensi