RANTAU PANJANG – Sekumpulan lelaki bertindak nekad meninggalkan 42 kotak mengandungi cecair vape bernilai RM770,000 bagi menyelamatkan diri daripada dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 di kawasan semak dekat Kampung Kubang Rambutan di sini semalam.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusoff berkata, anggota PGA melihat sekumpulan lelaki berada dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan di kawasan itu kira-kira pukul 3 pagi.
Menurutnya, apabila menyedari kehadiran anggota PGA, mereka terus melarikan diri ke kawasan semak berhampiran lokasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan di kawasan itu membawa kepada penemuan 42 kotak yang mengandungi sebanyak 7,470 botol cecair vape pelbagai perisa.
“Siasatan awal mendapati cecair vape itu akan diseludup ke negara jiran dengan menggunakan laluan tikus di kawasan Sungai Golok di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nor Azizan memberitahu, siasatan mendapati, permintaan tinggi terhadap cecair vape di negara jiran turut mendorong penyeludup menjual barangan itu menerusi pasaran gelap.
Katanya, semua barangan rampasan itu akan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952.