PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengadakan Webinar Perancangan Strategik (WPS) KPT untuk menganalisis pencapaian kementerian pada tahun lalu dan mengkaji semula program, produk dan perkhidmatan dalam usaha bagi menaikkan sektor pengajian tinggi ke tahap lebih baik tahun ini.
Menterinya, Datuk Noraini Ahmad berkata, usaha memperkasakan pendidikan tinggi negara merupakan tindakan berterusan kementerian agar mampu berdaya saing serta memenuhi keperluan semasa kerana pendidikan ialah jiwa sebuah masyarakat.
“Bidang pengajian tinggi harus responsif kepada impak yang dialami negara seperti pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau berkata, kementerian perlu mengemas kini dan menaik taraf peta lama untuk memastikan objektif yang ditetapkan dapat dicapai.
“Adalah penting untuk kita pastikan agar landskap pendidikan tinggi negara terus berkembang secara positif,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar semua rakyat bekerjasama sebagai satu organisasi atau keluarga besar tanpa mengira usia, bangsa, agama atau kepercayaan supaya dalam memantapkan lagi bidang pendidikan tinggi negara sehingga ke puncak kegemilangan
Noraini sebelum ini berkata, KPT menggariskan enam fokus strategik antaranya memperkasakan agenda pendigitalan pendidikan; memantapkan jaringan kolaborasi strategik; memperkukuh kebolehpasaran graduan; memacu kesejahteraan komuniti mempersada kecemerlangan institusi, dan menyemarakkan semangat #KPTPrihatin.-K!ONLINE