LIVERPOOL – Pengurus Everton, Carlo Ancelotti mendedahkan dua faktor menjadi penyebab pasukannya tewas mengejut kepada 0-2 kepada Fulham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park awal pagi semalam.
Dua jaringan menerusi Josh Maja pada babak kedua perlawanan menyebabkan Everton tewas buat kali kelima di laman mereka sendiri pada saingan liga musim ini.
Menurut Ancelotti, faktor keletihan dan tekanan bertali arus daripada jentera serangan Fulham menyebabkan benteng pertahanannya gagal bertahan dengan baik sekali gus terpaksa menanggung kekalahan tersebut.
“Persembahan para pemain tidak begitu bagus, ia bukanlah apa yang kami jangkakan. Kami tahu perlawanan ini sangat penting dan ia bukan aksi mudah tetapi kami tidak dapat mengawal tekanan itu sehingga menyebabkan kami tewas.
“Ia adalah perlawanan yang berintensiti tinggi dan kami sangat penat selepas mengharungi perlawanan Piala FA menentang Tottenham Hotspur yang berlanjutan sehingga masa tambahan pada Khamis lalu.
“Faktor kedua adalah tekanan yang mereka berikan terhadap barisan pertahanan menyebabkan kami tidak dapat menguasai bola dan mencipta peluang,” katanya.
Everton bakal berdepan dua tugas berat selepas ini apabila dijadual menentang Manchester City pada awal pagi Khamis ini sebelum membuat perhitungan dengan seteru setempat, Liverpool awal pagi Ahad. – AGENSI