MESKI sudah bertapak dalam industri hiburan tanah air selama 10 tahun, si bunga bernama Natasha Charmaine Rickson akur namanya belum sepenuhnya mekar.
Mengorak langkah dalam industri seni sejak 2010 sebagai pengacara Bintang Kecil RTM, wanita yang mesra disapa Natasha juga tidak pernah berkecil hati apabila terdapat kata-kata negatif yang melabelkannya sebagai artis suam-suam kuku.
Tidak menoleh lagi, si jelita itu terus melebarkan sayapnya untuk terbang tinggi menggapai impiannya untuk bergelar sebagai selebriti serba boleh.
Terbaharu, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu mendedahkan dirinya bakal bergelar produser tidak lama lagi. Itu antara impian besarnya yang bakal direalisasikan pada tahun ini.
Biarpun tidak banyak, pengalaman menghiasi beberapa buah drama seperti Khalimah Cinta, Diari Si Penambang, Cinta, Puaka Bujang Senang, Syahadat Cinta dan Pelangi Hati dirasakan cukup untuk dijadikan bekalan menerbitkan karya sendiri.
Terkini, Natasha diberi kepercayaan mengacara rancangan Sinema terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang bersiaran di YouTube pada pukul 9 malam setiap Sabtu.
Rumah produksi
Ujar wanita berusia 30 tahun itu, meskipun sudah bergelar pengacara dan pelakon, dia masih mempunyai satu lagi rencana besar dalam hidupnya iaitu untuk memiliki sebuah rumah produksi sendiri.
“Sejak berkecimpung dalam industri seni, pengacaraan dan lakonan antara dua bidang yang sudah saya genggam. Jadi untuk mengembangkan lagi sayap sebagai selebriti serba boleh, saya wujudkan pula sebuah syarikat produksi.
“Syarikat produksi yang diberi nama Bloombordia Sdn. Bhd. tersebut bakal memulakan operasinya tidak lama lagi. Namanya sedikit unik kerana saya gabungkan dua perkataan iaitu Bloomberg dan media,” katanya kepada HibGlam dengan nada teruja.
Menurutnya, niat penubuhan syarikat produksi bagi memberi peluang buat dirinya serta bakat baharu lain meneroka kerjaya seni dalam pelbagai cabang.
“Syukur semua urusan penubuhan syarikat produksi saya berjalan dengan lancar setakat ini. Lesen operasi juga sudah mendapat kelulusan daripada Finas.
“Semua prosedur diusahakan sendiri dan sekarang hanya tinggal untuk menghantar permohonan kepada stesen televisyen tempatan bagi menjalin kerjasama menghasilkan produk bersama pada masa akan datang,” katanya.
Tambahnya, dia tidak kisah sekiranya ada yang melabelnya sebagai artis syok sendiri kerana menubuhkan sebuah syarikat produksi.
“Kalau hendak memastikan impian terlaksana, mengapa saya harus mengambil kira apa yang orang cakap? Biarlah apa orang nak cakap, asalkan hajat saya tercapai,” katanya lagi.
Ditanya apakah bentuk program atau naskhah yang ingin diketengahkan syarikatnya, Natasha memberitahu dia ingin mengetengahkan keunikan dan budaya di Sarawak kepada umum.
“Banyak lagi keunikan dan keindahan negeri Sarawak masih belum dipertontonkan kepada umum. Jadi, saya akan mengambil peluang ini mempromosikan negeri kelahiran ke mata dunia.
“Tiada isu lebihkan negeri sendiri tetapi itu memang impian saya jika berjaya buka syarikat produksi sendiri,” ujar pelakon berketurunan Bidayuh-Iban itu.
Lakonan
Berbicara lanjut tentang dunia lakonan, bekas Ratu Borneo 2010 itu memberitahu kariernya sebagai pelakon semakin menunjukkan perkembangan yang positif.
“Selepas bertahun-tahun bergelar pelakon, akhirnya saya berjaya menempatkan diri dalam sebuah drama berjudul Tak Sempurna Mencintaimu yang bakal disiarkan dalam slot Akasia TV3.
“Siapa yang tidak mahu wajahnya terpampang dalam slot popular. Saya sangat teruja dan tidak sabar dengan reaksi umum walaupun terlibat hanya dalam beberapa episod, “ ujarnya.
Ujarnya, walaupun sekadar menjayakan watak tambahan, drama berkenaan boleh dianggap sebagai antara pencapaian terbesarnya sebagai pelakon.
“Harap selepas ini, lebih banyak drama lakonan saya akan disiarkan dalam slot popular seperti Samarinda (TV3) dan Megadrama (Astro),” katanya penuh berharap.
Sedar namanya lambat panas atau mendaki carta heroin dalam mana-mana drama, dia sentiasa percaya rezeki tidak akan datang bergolek tanpa usaha.
“Kurang popular tetapi rezeki tidak akan hadir jika saya sendiri tak berusaha untuk dapatkannya. Mungkin populariti belum milik saya lagi,” jawab pelakon drama Hari Kita Jatuh Cinta yang kini disiarkan menerusi Awesome TV.
Cinta 2021
Ingin melakar lebih banyak kejayaan sepanjang 2021, itulah yang diharapkannya untuk tahun ini.
Dia juga berharap mendapat lebih banyak liputan tentang kerjayanya sebagai pelakon atau pengacara.
“Peluang untuk muncul dalam slot Akasia satu peluang yang memang lama saya nantikan walaupun hanya lima episod.
“Biarlah sikit. Lebih baik ada daripada sepi tanpa buah tangan untuk peminat. Tahun 2021 juga boleh dikatakan tahun kelahiran semula saya kerana banyak perkara yang sudah disusun untuk tahun ini,” katanya.
Ditebak soalan tentang perkhabaran konon-kononnya sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang pelakon lelaki, Nafiez Zaidi, jawapan yang diberikan Natasha seperti mengesahkan keakraban mereka.
“Terlalu awal dan berat bunyinya jika saya katakan kami sedang bercinta. Cukuplah saya katakan kami rapat dan dalam proses mengenali hati budi.
“Kahwin? Masih jauh lagi perancangan itu, biarlah saya langsaikan impian lain dahulu kemudian barulah boleh fokus untuk bergelar isteri. Apa pun, doakan yang baik-baik untuk kami,” katanya seraya menutup perbualan.