MELAKA – Seorang jurutera rugi RM71,000 selepas terpedaya dengan penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar dari syarikat kurier antarabangsa, bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, mangsa yang berusia 26 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek mendakwa kononnya dari pihak DHL Express China pada 26 Januari lalu.
Katanya, suspek kemudian memberitahu ada menerima bungkusan daripada mangsa yang mengandungi kad debit untuk dihantar ke Beijing, China.
“Lelaki tidak dikenali itu turut mengugut mangsa dengan mendakwa dia kini disyaki melakukan kegiatan pengubahan wang haram sebelum berpura-pura menyambungkan panggilan itu kepada pegawai polis dari Beijing China.
“Suspek turut meminta mangsa memuatnaik aplikasi Skype mendakwa bagi memudahkan urusan siasatan dalaman berhubung bungkusan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sundra berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang sebagai jaminan untuk menyelesaikan kes tersebut.
“Mangsa yang dalam ketakutan telah mengikut arahan suspek dan membuat empat transaksi pembayaran berjumlah RM71,000 ke dua akauan berbeza pada 27 Januari.
“Setelah pembayaran dibuat, suspek masih meminta mangsa memasukkan wang, namun pemuda tersebut tidak mengikuti arahan itu selepas menyedari dirinya telah ditipu. Dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Baru, semalam,” katanya.
Katanya, hasil semakan polis mendapati, nombor telefon digunakan suspek berkait dengan empat laporan, manakala nombor akaun tiga laporan menggunakan modus operandi sama.
Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE