SHAH ALAM – Seorang bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal terpaksa meringkuk dalam penjara selama 23 bulan selepas gagal membayar denda dikenakan Mahkamah Sesyen hari ini atas kesalahan menerima rasuah RM3,900 daripada pemilik sebuah pusat urut di antara 2016 hingga 2017.
Keputusan itu dibuat Hakim Rozilah Salleh selepas tertuduh, Mohd. Shahridhuan Zohir, 30, mengaku bersalah atas enam pertuduhan termasuk pertuduhan pilihan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah.
Rozilah dalam penghakimannya menegaskan hukuman itu bagi menginsafkan dan petunjuk supaya kamu berhenti.
“Kamu muda lagi, jadilah masyarakat yang berguna terutama kepada ibu bapa,” katanya.
Berdasarkan hukuman dikenakan, anak sulung daripada enam beradik itu dikenakan penjara keseluruhan 14 bulan dengan hukuman penjara paling lama adalah tiga bulan dan berjalan serentak.
Bekas penerima anugerah perkhidmatan cemerlang tahunan di sebuah Ibu Pejabat Polis (IPD) di Selangor itu juga diperintahkan membayar denda sejumlah RM30,000 atau berdepan penjara tambahan selama 20 bulan sekiranya gagal membayar untuk semua pertuduhan. Tertuduh gagal membayarnya.
Justeru, jumlah keseluruhan penjara adalah 23 bulan dari tarikh dia ditangkap pada 12 Januari lalu.
Mengikut satu pertuduhan pilihan, Mohd. Shahridhuan didakwa menerima wang tunai RM600 daripada seorang pemilik pusat urut berusia 42 tahun.
Tertuduh yang dibuang kerja dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiga tahun lalu itu berdepan lima lagi pertuduhan menerima wang tunai keseluruhan RM3,300 bersama anggota berpangkat konstabel percubaan, lans koperal dan koperal daripada individu sama.
Kesemua perbuatan itu dilakukan Mohd. Shahridhuan ketika berjawatan Lans Koperal di Balai Polis Komuniti Bandar Teknologi.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu bersama rakan-rakannya dari balai sama di JJ Harmony Spa, Taman Anggerik, Semenyih dan sebuah restoran di Jalan Reko, Kajang di antara 27 Jun 2016 hingga 4 Februari 2017.
Sabit kesalahan bagi keenam-enam pertuduhan itu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadhli Ab. Wahad dan pegawai pendakwa SPRM Tuan Attfina Tuan Kamaluddin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Kosmo! pada 14 Januari lalu melaporkan seorang bekas anggota polis berpangkat lans koperal mengaku bersalah di
Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan termasuk pertuduhan pilihan menerima rasuah keseluruhan RM3,900 daripada pemilik sebuah pusat urut. -K!ONLINE