fbpx

Apabila media sosial jadi saluran aduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ATIKAH DALI
PENGARANG BERITA

Sehari dua ini hangat diperkatakan mengenai dua kejadian melibatkan dua wanita yang mendakwa menjadi mangsa ‘gangguan nakal’ anggota polis dalam sekatan jalan raya baru-baru ini.

Perkara itu terbongkar selepas dua wanita terbabit mendedahkan kejadian yang menimpa mereka menerusi laman Twitter dan Instagram.

Dalam kejadian di Kuala Lumpur, seorang wanita mendakwa pada mulanya dia telah diarahkan berhenti di bahu jalan kerana terlupa membawa lesen memandu.

Seorang anggota polis kemudian menyoalnya kerana tidak memakai coli dan meminta membuka baju.

Anggota polis itu juga mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan untuk menyaman pemandu wanita itu sekiranya dia enggan berbuat demikian.

Dalam kejadian berasingan, seorang gadis mendakwa dia telah dihubungi seorang anggota polis yang baru memeriksanya dalam sekatan jalan raya bagi tujuan hendak berkenalan.

Dua pendedahan mengenai gangguan melibatkan anggota polis itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dalam masa 48 jam ini.

Ada dalam kalangan pengikut media sosial yang menghentam anggota keselamatan yang disifatkan melampau.

Tidak terkecuali dua wanita terbabit yang turut menerima kecaman hebat. Ada yang menyifatkan mereka sengaja mencari publisiti murahan.

Lebih teruk lagi ada yang mula menyentuh mengenai body shaming.

Itu natijahnya apabila media sosial dijadikan sebagai medium untuk meluahkan atau berkongsi sesuatu perkara.

Apabila butang kongsi di Facebook dan ulang ciap di Twitter diaktifkan, dalam masa singkat sesuatu kejadian itu akan menjadi tular dan netizen akan memainkan peranan masing-masing.

Mungkin dua wanita itu berpandangan pendedahan pengalaman mereka bagi meminta pandangan dan pengajaran.

Tak kurang juga berpendapat luahan itu akan membuka mata masyarakat supaya tampil ke hadapan sekiranya menghadapi situasi sama.

Namun, bagi isu yang sensitif lebih-lebih lagi melibatkan maruah, penulis berpandangan ia perlu dilakukan mengikut saluran yang betul dengan membuat laporan kepada pihak berkaitan.

Tindakan ini dilihat lebih ‘profesional’ dan mangsa juga tidak terdedah dengan kecaman, malah lebih teruk identiti mereka ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba menangguk di air yang keruh.

Dalam isu ini, Bukit Aman bertindak pantas menarik tugas dua anggota polis itu serta-merta sementara me­nunggu siasatan selesai.

Penulis yakin Polis Diraja Malaysia juga tidak mengambil masa yang lama untuk menyiasat kerana ia membabitkan imej pasukan itu.

Ini bagi mengelakkan masyarakat terus membuat andaian yang bukan-bukan terhadap kedua-dua pihak termasuk pengadu. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan terserak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI