PUTRAJAYA – Pemimpin politik dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada dari kerajaan atau pembangkang akan diberikan vaksin Covid-19 dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu setelah diteliti dan diperakukan oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) sebagai mempertimbangkan kedudukan dan situasi bentuk kerja mereka yang perlu berdamping serta bertemu masyarakat di akar umbi berisiko terdedah dengan jangkitan Covid-19.
“Oleh sebab situasi bentuk kerja itu kita bersetuju ahli-ahli Parlimen dan ADUN tidak kira kerajaan atau pembangkang diberikan vaksin dalam fasa pertama untuk membolehkan mereka dapat menjalankan tugas berkesan dan selamat.
“Bagaimanapun, kita minta menteri berkaitan untuk berbincang dengan pimpinan parti politik supaya bersetuju dan memahami keperluan itu untuk melaksanakan vaksinasi apabila diterima nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. -K! ONLINE